Talian Helpline FamilyCare@LPPKN

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melancarkan talian khas Helpline FamilyCare@LPPKN, 1-800-82-0300 bagi membantu isu kekeluargaan, pasangan dan perkahwinan.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kewujudan talian Helpline FamilyCare@LPPKN itu menjadi alternatif terbaik di media sosial yang mungkin diguna pakai sebagai saluran tunggal pengguna Twitter dan Facebook bagi meluahkan apa jua masalah.
Katanya, sejak diperkenalkan September lalu, sebanyak 533 kes diterima melalui talian khas Helpline FamilyCare@LPPKN dan 40.7 peratus diklasifikasikan kes masalah keluarga (perkahwinan, komunikasi, penceraian dan anak-anak), manakala 36.3 peratus membabitkan kes kesihatan mental iaitu tekanan, kemurungan, kebimbangan dan kesunyian.
“Talian bebas tol Helpline FamilyCare@LPPKN adalah perkhidmatan kaunseling perkahwinan dan keluarga oleh kaunselor berdaftar yang diwujudkan LPPKN bagi menangani isu kekeluargaan, pasangan dan perkahwinan secara tele-kaunseling (panggilan telefon) dan bersemuka secara maya (e-kaunseling).
“Talian Helpline FamilyCare membolehkan masalah dikongsikan secara profesional serta membimbing klien dalam mengambil keputusan selanjutnya.
“Talian khas ini juga boleh mewujudkan keharmonian dalam setiap sesi perkongsian yang dikendalikan oleh kaunselor LPPKN yang berpengalaman.
“KPWKM menyasarkan akan menerima lebih 1,000 pemanggil menjelang akhir November ini berikutan pandemik yang mencetuskan banyak isu rumah tangga,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan Talian Helpline FamilyCare@LPPKN di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KPWKM Mohd Yusri Mohd Yusoff dan Ketua Pengarah LPPKN Abdul Shukur Abdullah.
LPPKN melantik seramai 18 orang kaunselor keluarga bertauliah dan mempunyai kredibiliti dalam bidang psikologi bagi menyantuni klien secara dalam talian.
Rina berkata, mereka yang mempunyai masalah dan ingin mendapatkan khidmat kaunselor tidak perlu risau kerana rahsia serta maklumat peribadi dirahsiakan.

http://bkm.lppkn.gov.my/bkm2021/wp-content/uploads/2021/11/logo-lppkn_kpwkm_s.jpg

Copyright LPPKN 2022